ROMPIN: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh berjaya menangkap gajah jantan yang berada dalam kawasan perumahan nelayan Sungai Puteri, di sini, semalam.
Haiwan dianggar berusia antara 15 hingga 20 tahun itu dipercayai keluar daripada kawasan Hutan Simpan Menchali untuk mencari makan.
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, selepas menerima aduan penduduk setempat yang melihat gajah itu di belakang rumah mereka usaha mengesan segera dilakukan semalam.
Menurutnya, operasi mengesan gajah menemui kejayaan dan berjaya ditangkap di kawasan semak berhampiran perumahan nelayan Sungai Puteri, pada kira-kira 11 pagi semalam.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kehadiran gajah di kawasan perumahan nelayan kerana boleh mengancam keselamatan penduduk.
“Kita akan memindahkan gajah itu dalam masa terdekat dengan bantuan dua gajah denak,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.