Gajah jantan Kampung Gol kena tangkap

Gajah jantan Kampung Gol kena tangkap

JERANTUT: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang berjaya memindahkan gajah jantan dewasa di Kampung Gol, di sini, semalam.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, haiwan dianggarkan berusia 20 hingga 30 tahun itu ditemui berkeliaran dalam kampung terbabit hingga menimbulkan kebimbangkan penduduk setempat.

Menurutnya, operasi menangkap gajah dewasa itu dilakukan selepas menerima aduan penduduk yang melihat haiwan terbabit, kelmarin.

Katanya, operasi memindahkan gajah liar terbabit mengambil kira-kira enam jam bermula 8.30 pagi. 

Menurutnya, dua gajah denak Kasturi dan Cheri digunakan untuk menarik gajah jantan itu sejauh kira-kira 40 meter sebelum dipindahkan ke atas lori.

“Kita pindahkan haiwan berkenaan ke habitat asal di Taman Negeri Terengganu. Kejayaan menangkap dan memindahkan gajah liar itu diharap dapat meredakan keresahan penduduk di kawasan itu,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD