Gaji minimum RM1,500 bermula Mei 2022

Gaji minimum RM1,500 bermula Mei 2022

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan, bermula 1 Mei depan. 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan beberapa syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Bagi syarikat mikro yang mempunyai kurang pekerja dan kurang pendapatan, Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M Saravanan) akan berbincang dengan Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) mohon agar ditangguhkan dahulu buat syarikat kecil ini,” katanya.

Ismail yang juga Naib Presiden UMNO mengumumkan perkara itu ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021, di sini, hari ini.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020 iaitu kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020.