SRI Pahang FC menjalani latihan melalui panggilan video secara dalam talian sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Super, 5 Mac depan.
Ketua Pegawai Eksekutif SPFC, Dato’ Mohammed Suffian Awang, berkata latihan itu dilakukan susulan beberapa pemain dan pegawai didapati positif Covid-19.
Katanya, barisan kejurulatihan yang diketuai ketua jurulatih, Christophe Gamel memantau latihan itu.
“Persiapan menjelang pembukaan Liga Malaysia (Liga M) terutama Liga Super yang bermula 5 Mac depan, memerlukan semua pemain berada pada tahap kecergasan tinggi.
“Oleh itu sepanjang tempoh kuarantin di rumah, semua pemain perlu menjalani latihan secara panggilan video,” katanya.
Kelmarin, beberapa pemain dan pegawai Sri Pahang FC didapati positif sehinggakan pasukan itu terpaksa menarik diri pada perlawanan berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada perlawanan merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan yang dijadualkan berlangsung hari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN