Gamel cetus tanya tanya

Gamel cetus tanya tanya

DESAS-DESUS ketua jurulatih Sri Pahang FC bawah 21 tahun musim ini, Christophe Gamel bakal dilantik ketua jurulatih Si Pahang FC musim 2022 semakin jelas.

Ini kerana jurulatih kelahiran Perancis itu hadir pada majlis menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan sukan musim 2022/2023 di Sri Pahang FC Lounge, di sini, kelmarin.

Begitupun, tiada sebarang pengumuman daripada pengurusan kelab mengenai status Gamel yang pernah menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Fiji.

Ketika diajukan kehadiran Gamel, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Dato’ Mohammed Suffian Awang tidak mahu mengeluarkan sebarang komen.

Beliau sebaliknya meminta media memberi fokus kepada majlis penajaan berbanding Gamel.

Difahamkan, pengurusan kelab akan mengumumkan ketua jurulatih Sri Pahang hujung bulan ini.

Berdasarkan prestasi musim ini, Sri Pahang gagal menyerlah apabila hanya menduduki tempat ke-10 dalam Liga Super manakala sekadar beraksi di peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN