Gamel ganti Dollah bimbing Sri Pahang musim 2022

Gamel ganti Dollah bimbing Sri Pahang musim 2022

BEKAS ketua jurulatih skuad kebangsaan Fiji, Christophe Gamel sah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu bagi saingan Liga Malaysia (liga M) musim 2022.

Pengumuman pelantikan itu disiarkan di Facebook rasmi Sri Pahang FC, hari ini, sekali gus menamatkan spekulasi jurulatih baharu pasukan itu.

Gamel, 50, yang berasal dari Perancis berazam membalas kepercayaan yang diberikan itu menerusi video berdurasi 46 saat di laman sosial media itu.

“Saya akan berikan yang terbaik buat SPFC terutama kepada pemilik dan Ahli Lembaga Pengarah SPFC. 

“Banyak pengorbanan dilakukan pengurusan SPFC dan perkara yang penting ialah mentaliti, disiplin, dedikasi untuk lebih bersemangat,” kata bekas ketua jurulatih Sri Pahang FC bawah 21 tahun musim lalu.

Gamel menggantikan Dollah Salleh yang merekodkan kedudukan tempat ke-10 Liga Super manakala sekadar menamatkan saingan Piala Malaysia di peringkat kumpulan.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN