PERASAAN kecewa tidak dapat disembunyikan ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel selepas skuad itu tewas 1-2 kepada Sarawak United, malam tadi.
Beliau berkata, sepatutnya skuad bimbingannya itu mampu mengutip tiga mata tetapi kekurangan seorang pemain menyebabkan perancangannya terjejas.
“Saya kecewa dengan keputusan pada perlawanan malam ini tetapi akur kerana Sri Pahang bermain dengan 10 pemain akibat Muslim Ahmad dilayangkan kad merah.
“Walaupun bermain 10 orang, semua pemain sedaya upaya untuk memberikan tentangan tetapi ia belum cukup untuk menyekat Sarawak United.
“Dengan keputusan ini, saya akur dan berharap pemain kembali bangkit untuk perlawanan akan datang,” kata jurulatih berasal dari Perancis itu.
Pada perlawanan itu, Sarawak United bangkit pada babak kedua apabila menjaringkan dua gol, masing-masing satu oleh Nur Shamie Iszuan Amin dan Uche Agba pada minit ke-54 dan 72.
Gol tunggal Sri Pahang dijaringkan penyerang import, Manuel Hidalgo pada minit ke-45. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN