Gamel tenang ketika Sri Pahang berdepan jangkitan Covid-19

Gamel tenang ketika Sri Pahang berdepan jangkitan Covid-19

KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel mengakui beliau perlu memastikan anak buahnya kembali berada pada prestasi terbaik sebaik sembuh daripada jangkitan COVID-19.

Jurulatih berumur 50 tahun itu berkata, ketika ini fokus utamanya ialah untuk memberikan semangat kepada pemainnya terutama daripada segi kecergasan.

“Sebaik mereka sembuh dan menjalani sesi latihan, ia memerlukan persediaan lebih baik untuk membentuk sebuah pasukan mantap.

“Sudah pasti pemain kekal (bersemangat) positif apabila kembali beraksi pada perlawanan selepas ini,” kata jurulatih asal Perancis itu.

Pada 5 Mac lalu, Sri Pahang sepatutnya melayan kunjungan Terengganu TF (TFC), namun terpaksa ditunda disebabkan COVID-19.

Pada masa sama, dua lagi perlawanan iaitu berdepan Selangor FC yang dijadualkan semalam dan Manjung City pada 12 Mac ini turut ditunda.

Difahamkan, seramai 21 pemain dan pegawai Sri Pahang yang didapati positif hingga Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menunda tarikh perlawanan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN