Gamel tenang menjelang aksi sulung Liga Super Sabtu ini

Gamel tenang menjelang aksi sulung Liga Super Sabtu ini

KECEDERAAN beberapa pemain utama Sri Pahang FC (Sri Pahang) bukan alasan buat Christophe Gamel untuk menekan butang panik.

Sebaliknya, Ketua Jurulatih Sri Pahang itu tetap tenang untuk mengharungi aksi pembukaan Liga Super yang akan bermula Sabtu ini.

Katanya, walaupun berdepan masalah terutama kecederaan dalam kalangan pemain, seluruh pasukan perlu kekal positif untuk mengharungi saingan liga musim 2022.

“Sebenarnya ketika latihan pusat di Muadzam Shah (Rompin), segalanya dilihat begitu baik.

“Tapi, kecederaan beberapa pemain selepas itu menyaksikan saya tidak dapat menampilkan barisan pemain terbaik termasuk ketika kejohanan di Terengganu baru-baru ini.

“Persediaan menghadapi pramusim sedikit terganggu tetapi saya harap semua pemain berada pada prestasi terbaik apabila memulakan aksi liga Sabtu ini,” katanya.

Sabtu ini, Sri Pahang akan melayan kunjungan Terengganu FC (TFC) pada perlawanan pembukaan Liga Super musim ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN