DOLLAH Salleh dan Fandi Ahmad yang diberi tanggungjawab selaku ketua jurulatih dan penasihat teknikal Sri Pahang FC mampu melonjakkan prestasi skuad itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang.
Beliau berkata, ia berdasarkan pengalaman luas dimiliki dua bekas pemain Pahang itu baik sebagai pemain, mahupun jurulatih.
“Saya percaya dengan kemampuan Dollah dan Fandi kerana mereka berpengalaman luas serta pernah bermain bersama Pahang.
“Dengan pengalaman itu, barisan pemain Sri pahang diharap dapat memberikan persembahan terbaik mereka, sekali gus membantu pasukan memperbaiki kedudukan lebih baik,” katanya di Kuantan, hari ini.
Semalam, Sri Pahang membuat keputusan melantik Dollah sebagai ketua jurulatih baharu manakala Fandi pula memegang jawatan penasihat teknikal kelab itu.
Dollah menggantikan Christophe Gamel yang tidak meneruskan khidmatnya sebagai ketua jurulatih. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN