Gangguan bekalan air dibeberapa kawasan di Pahang

KUANTAN 23 April 2023 (Fikrah Pahang)- Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam satu kenyataan mengesahkan beberapa kawasan di negeri itu mengalami gangguan bekalan air mendadak terutama di kawasan FELDA dan kampung tradisional akibat tekanan rendah akibat penggunaan pada musim perayaan Aidilfitri.

Selain itu, faktor cuaca kemarau atau fenomena La Nina lemah mengakibatkan cuaca kering dan taburan hujan berkurangan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan sumber air mentah yang diperolehi dari sungai utama berkurangan.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata penyusutan sumber air mentah ini menyebabkan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) mengalami penyusutan pengeluaran air terawat atas kekangan operasi pam secara optimum di muka sauk.

“Ia sekaligus memberi kesan kepada Kolam Imbangan dan Kolam Simpanan berada di paras minimum apabila LRA tidak beroperasi secara maksimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tempoh efektif plan kesiapsiagaan PAIP sedang berjalan dan diteruskan sehingga 30 April ini disamping itu PAIP sedang mengatur gerak 34 lori tangki air untuk agihan bantuan bekalan alternatif dan penempatan segera 855 tangki statik di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti sebagai kawasan kritikal menghadapi masalah tekanan air rendah atau gangguan bekalan air.

“PAIP juga mengambil tindakan segera menambah dan atur gerak Lori Tangki Air Jumbo (40,000 dan 50,000 liter) di seluruh daerah di Pahang bagi mempercepat bantuan agihan bekalan alternatif.

“PAIP sedang berusaha sedaya upaya dan optimis dapat mengatasi perkara ini dengan lebih baik,” katanya.

Saiful berkata kakitangan PAIP yang bertugas akan terus memberi khidmat dengan pantas seterusnya memberi keselesaan kepada pengguna khususnya pada musim cuti perayaan ini.

Pada masa sama, beliau menasihatkan pengguna supaya menggunakan air secara berhemat dan melakukan persediaan bekalan air secukupnya bagi kegunaan pada musim perayaan.

“Untuk sebarang masalah, pengguna boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) melalui talian 09-573 9999 yang beroperasi selama 16 jam sehari iaitu dari jam 7 pagi hingga 11 tengah malam,” katanya.

Oleh Kabhi Ismail