Gangguan bekalan air pasca banjir di Pahang

Gangguan bekalan air pasca banjir di Pahang

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Beberapa kawasan di negeri ini dijangka berdepan keadaan tekanan air rendah berikutan banjir yang berlaku baru-baru ini.

  Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, perkara itu berpunca daripada beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

  Katanya, antara faktor terbabit adalah masih terdapat loji rawatan air (LRA) yang mengalami penyusutan kapasiti pengeluaran disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraan mukasauk

  “Selain itu, kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan juga menyebabkan jajaran paip terputus atau pecah. 

  “Penggunaan air terlalu tinggi secara serentak bagi tujuan pembersihan rumah atau premis terjejas akibat banjir juga menjadi antara faktor menyumbang kepada tekanan air rendah,” katanya.

  Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

  Pun begitu, katanya, hampir semua LRA kini beroperasi sepenuhnya bagi membekalkan air kepada pengguna dan masih di dalam proses pemulihan.

  “Proses pemulihan ini memerlukan masa dan akan siap secara berperingkat. Justeru, pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemah,” katanya. 

  Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web PAIP di www.paip.com.my dan Telegram, Notis Gangguan Bekalan Air Negeri Pahang untuk mendapatkan maklumat mengenai Notis gangguan bekalan air atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 09-573 9999 bagi sebarang pertanyaan dan aduan.