TEMERLOH: Kerajaan Pahang memperuntukkan lebih RM115,000 sebagai insentif kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan mana-mana sekolah yang meningkatkan peratusan vaksinasi murid bagi Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata insentif berkenaan meliputi ganjaran sebanyak RM10,000 untuk PPD yang berjaya membantu sekolah-sekolah meningkatkan kadar vaksinasi murid.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau berkata, untuk peringkat prasekolah, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1,000 bagi tujuan sama, manakala sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) serta sekolah anak Orang Asli pula ditawarkan insentif sebanyak RM3,500.
Katanya, insentif itu bertujuan untuk meningkatkan kadar vaksinasi murid berusia lima hingga 12 tahun di seluruh negeri ini.
“Ini kerana, statistik menunjukkan pengambilan vaksin oleh murid di Pahang terlalu rendah… jadi YAB Menteri Besar Pahang (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) cuba membantu Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) supaya semua murid ini dapat digalakkan untuk mengambil vaksin.
“Makanya, kerajaan negeri memperkenalkan insentif untuk mereka bekerja lebih keras dan mengiktiraf usaha berkenaan dengan memberikan insentif supaya murid disasarkan itu dapat divaksinasi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Silaturahim dan Jamuan Aidilfitri Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang 1443 H (2022) di Dewan Terbuka Sri Ketumbit, Kerdau di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said, ADUN Kuala Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin’ Setiausaha UMNO Pahang, Dato’ Sri Ab Hamid Nazahar dan Pengarah JPNP, Mohammad Rosli Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, terdapat peningkatan jumlah ibu bapa yang memberikan kebenaran untuk anak-anak mereka diberikan suntikan vaksin COVID-19 berbanding ketika PICKids baru diperkenalkam
“Sehingga kini, sebanyak 40 peratus murid berusia lima hingga bawah 12 tahun di Pahang sudah divaksin,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN