Gaza bagaikan kampung sendiri, kata Ebit Liew

Gaza bagaikan kampung sendiri, kata Ebit Liew

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar ihsan akaun FB Ustaz Ebit Liew

GAZA: Pendakwah terkenal, Ebit Liew dan rombongannya berjaya memasuki Gaza, Palestin, iaitu pasukan pertama menjejakkan kaki di wilayah bergolak itu melalui pintu Rafah. 

Dalam perkongsian mengenai perkara itu menerusi laman Facebook rasminya, hari ini, Ebit berkata, dia dan rombongan diiringi kereta perisai tentera Mesir sepanjang perjalanan ke Gaza.

“Menurut kedutaan Malaysia dan Unit Perisikan Tentera Mesir kami team pertama dalam dunia yang dibenarkan masuk melalui Pintu Rafah. 

“Pihak berkuasa Mesir sendiri banyak memberi bantuan. Terdapat lebih 30 NGO (badan bukan kerajaan) sedang memohon untuk memasuki Gaza, dengan sebahagiannya kini berada di Mesir,” katanya yang kira-kira sebulan sebelum ini berada di Kaherah.

Ebit ternyata sebak sebaik menjejakkan kaki di Gaza dan memberitahu seolah-olah `berjaya balik ke kampung sendiri’.

“Mungkin doa untuk rakyat Palestin, kini dapat jejak kaki ke sini. Terharu bila sampai kami disambut oleh Palestin Red Crescent.

“Ramai berebut untuk menyambut iaitu Kementerian Kesihatan Palestin dan Kementerian Luar Palestin.

“Sepanjang masuk sempadan Rafah cuma kedengaran semua ajak minum makan dan ke rumah mereka. 

“Terasa seperti keluarga yang sangat dekat,” katanya yang turut meminta maaf kerana tidak mengemas kini perkembangan misi berkenaan atas faktor keselamatan. 

Sementara itu, Ebit mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar, Dato’ Sri Hishammuddin Hussein, kerana banyak membantu beliau dan pasukan melaksanakan misi kemanusian itu. 

“Terima kasih kepada DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, yang sangat banyak membantu dan turut menyumbang bersama serta selalu bertanya khabar.

“Terima kasih juga Palestin Palestine Red Crescent Society dan Malaysian Red Crescent. 

“Terima kasih Kerajaan Mesir yang membantu segala urusan dan menjaga keselamatan kami sepanjang perjalanan,” katanya.