Generasi muda patut bersyukur atas perjuangan orang terdahulu

Generasi muda patut bersyukur atas perjuangan orang terdahulu

JERANTUT: Festival Memperingati Jasa Ulama, Umara’ dan Pahlawan Pahang akan membawa generasi muda terus menghayati peranan dan jasa golongan itu supaya lebih sayangkan negara ini.

Festival sempena Sambutan Awal Muharram dan 65 Tahun Kemerdekaan Tanah Melayu itu diadakan di Perkarangan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, dekat sini, menarik ramai khalayak khususnya generasi muda.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, festival itu menyemarakkan lagi sambutan sempena Hari Kebangsaan 2022.

“Negara kita pernah dijajah oleh orang barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris selama 511 tahun, selain menjajah dan mengaut kekayaan, penjajah ini juga mempunyai perancangan untuk melemahkan syiarkan Islam.

“Oleh itu, ulama dan pahlawan Melayu memainkan peranan yang besar dengan bertindak dan mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya selepas majlis festival itu, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Damak, Zuridan Mohd Daud; Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris dan Pegawai Agama Daerah Jerantut, Syarifuddin Mohamad Saad.

Syed Ibrahim berkata, pahlawan terdahulu berjuang atas semangat, keberanian, keimanan demi akidah dan daulah. 

“Oleh itu, semangat dan kekuatan mereka menentang penjajah wajar dihargai. Generasi sekarang yang menikmati kesenangan dan kemudahan harus bersyukur,”  katanya.