SEGAMAT: Walaupun Pahang baru sahaja ‘bebas’ daripada banjir, ia bukan alasan untuk 200 sukarelawan dari negeri ‘Tok Gajah’ berehat apabila mereka hari ini bergegas ke Segamat untuk membantu mangsa banjir di daerah itu pula.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata 200 sukarelawan terbabit bersedia untuk membantu mencuci dan membersihkan kediaman mangsa banjir di Segamat.
Selain itu, katanya, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin dan Adun Muadzam Shah, Ir Razali Kassim turut serta dalam misi bantuan kemanusiaan ke daerah itu.
“Kami juga diiringi MTSP (Majlis Tindakan Sosial Pahang) dan NGO (badan bukan kerajaan) dari Pahang diminta oleh YAB Menteri Besar (MB), Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail untuk mewakili beliau dalam misi ini.
“Dengan membawa amanah MB ini, kami bermula dengan penyerahan 100 kit makanan dan sumbangan kewangan yang diserahkan kepada Pegawai Daerah Segamat, Harisan Kamal,” katanya di Facebook, hari ini.
Menurutnya, selepas itu rombongan dibawa ke rumah Encik Zulfadli di Kampung Alai, Mukim Gemereh.
“Di sini terdapat dua rumah yang digenangi air dan musnah keseluruhannya. Kami juga meyampaikan barangan dan sumbangan kewangan kepada mangsa sebelum bergegas ke Kampung Chodan, Mukim Pogoh.
“Terdapat sebuah rumah yang genangi air dan baru sahaja kering pagi tadi. Kami bersama 40 orang sukarelawan membantu dalam kerja-kerja pembersihan di samping menyampaikan sumbangan barangan serta kewangan. Semoga ujian ini mampu memberi ketabahan kepada semua mangsa,” katanya yang juga Adun Kerdau. – HELMY ABD RAHMAN