KUANTAN: Graduan yang cekap menguasai pelbagai bahasa, berkeyakinan, berkomunikasi dengan baik dan berkeupayaan mengendalikan peralatan berteknologi tinggi mempunyai kelebihan untuk mendapat pekerjaan.
Pro Canselor UMP, Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor, berkata ini berdasarkan 190,436 peluang pekerjaan yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia, pada Disember lalu.
Daripada jumlah itu, katanya, 69 peratus adalah berasaskan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) manakala 19 peratus lagi dalam sektor pembuatan.
“Kerajaan Malaysia juga sudah mengumumkan tiga inisiatif JaminKerja iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Short term Employment Program (MySTEP).
“Selain itu, Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran bagi mencerdaskan semula ekonomi negara untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan.
“Semua inisiatif itu perlu disokong untuk memastikan matlamat pengangguran di bawah empat peratus tercapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pertama Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.
Pada majlis konvokesyen itu, 3,556 graduan UMP 2020 menerima ijazah dan diploma yang berlangsung empat hari, bermula hari ini.
Daripada jumlah itu, 234 graduan doktor falsafah dan sarjana, 2,364 graduan sarjana muda dan diploma manakala 958 graduan UMP Advanced. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN