Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Hanya gula-gula politik! Itu reaksi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail terhadap tujuh tawaran kepada ahli Parlimen pembangkang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mewujudkan pentadbiran rentas parti, semalam.
Wan Rosdy berkata, tawaran itu dilakukan Perdana Menteri demi menyelamatkan hayat politik beliau yang ketika ini dilihat bagaikan telur di hujung tanduk.
“Tawaran itu tidak lebih sekadar gula-gula politik demi menyelamatkan hayat politik pihak ‘desperado’ (orang terdesak).
“Beliau (Muhyiddin) berasa perlu membuat pengumuman terbuka mengenainya sekali gus membuktikan keadaan terdesak itu, namun pada masa sama cuba menampakkan seolah-olah ia usaha sucinya bagi menyelamatkan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, Muhyiddin sendiri mengakui bahawa tiada mana-mana pihak memperoleh sokongan majoriti di Parlimen yang secara tidak langsung menjadi pengakuan bersalah (admission of guilt) yang nyata di pihaknya yang sebelum ini sering menggembar-gemburkan mempunyai majoriti.
“Oleh itu, saya percaya tawaran terbuka ini tidak akan mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen terutama dalam kalangan ahli UMNO yang masih setia dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), apatah lagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.
“Sewajarnya beliau (Muhyiddin) lebih bersikap budiman tanpa perlu membuat tawaran terbuka ini yang dilihat sebagai satu sogokan tidak bermaruah, lalu memanggil pula untuk mengadakan Persidangan Khas Parlimen secepat mungkin bagi menentukan keabsahan kedudukannya,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy mengajak semua pihak dalam UMNO dan PAS supaya sedaya upaya mengukuhkan persepakatan dalam Muafakat Nasional (MN) di peringat nasional serta negeri.
“Inilah sebenarnya alternatif terbaik dalam mengharungi kemelut yang ada, Insya-Allah,” katanya.