Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menggunakan helikopter Unit Udara Bomba (UUB) untuk menghantar bekalan makanan di kawasan pendalaman Pahang jika banjir dan terputus hubungan darat.
Pengarah JBPM Pahang, Wan Mohd Zaidi Wan Isa, berkata antara kawasan dikenal pasti ialah di Ulu Tembeling, Jerantut, yang terdapat beberapa kampung tradisional yang biasanya akan terputus hubungan jika banjir besar berlaku.
Katanya, untuk melicinkan lagi operasi penghantaran bantuan, pemilihan kawasan pendaratan helikopter yang sesuai dan selamat kini sedang dikenal pasti.
“Selain padang bola sepak dan kawasan lapang, jalan raya juga boleh dijadikan landasan untuk helikopter mendarat dan kembali berlepas dengan selamat.
“Kawasan untuk helikopter mendarat tidak boleh ada pokok tinggi, bentuk muka bumi yang rata dan tanah tidak terlalu lembut,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemilihan tempat mendarat helikopter sentiasa diberi perhatian serius kerana ia akan menjamin misi menghantar bantuan dapat berjalan lancar.
Menurutnya, bomba mungkin menjadikan jalan sebagai landasan di Ulu Tembeling untuk helikopter mendarat kerana laluan luas dan memudahkan perhubungan dengan beberapa kampung sekitarnya.
“Kita sudah bersedia daripada segi kemudahan logistik dan anggota bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir hujung tahun ini. Saya juga sudah mengarahkan semua pegawai dan anggota bersiap sedia,” katanya.