Guna khidmat Poslaju kirim 300 periuk nasi kepada mangsa banjir di Pahang

Guna khidmat Poslaju kirim 300 periuk nasi kepada mangsa banjir di Pahang

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic/video Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Penghantaran bantuan pasca banjir berupa 300 unit periuk nasi menggunakan perkhidmatan Poslaju merupakan kaedah terkini digunakan bagi membantu mangsa banjir di Pahang.

Pengerusi Sahabat Telekung Kuantan (STK)  Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh (tengah) memeriksa periuk nasi untuk dihantar kepada mangsa banjir menggunakan perkhidmatan Poslaju.

  Pendekatan berkenaan digunakan badan bukan kerajaan, Sahabat Telekung Kuantan (STK) bagi mengelak pertemuan secara bersemuka yang terdedah pada penularan wabak COVID-19 di kalangan sukarelawan.

  Pengerusi STK, Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh berkata, selepas larangan NGO bertemu dengan mangsa banjir dikeluarkan pihak berkuasa, pihaknya terpaksa memikirkan cara alternatif bagi menyampaikan bantuan secara berterusan pada golongan memerlukan

  Katanya, selepas mengadakan perbincangan dengan ahli, akhirnya kata putus dicapai iaitu menggunakan perkhidmatan Poslaju untuk menghantar periuk nasi saiz 1.8 liter.

  “Fasa pertama penghantaran membabitkan sebanyak 100 unit periuk nasi dihantar terus  kepada mangsa banjir di Temerloh, Jerantut dan Lipis. Bagi mangsa banjir yang tinggal di kawasan pedalaman, bantuan disalur melalui ketua kampung.

  “Bagi penghantaran fasa kedua sebanyak 200 unit akan dilakukan minggu depan selepas kita menerima periuk daripada pembekal. Selepas selesai membungkus proses menghantar akan segera dilakukan,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas selesai membantu memindahkan100 periuk nasi untuk dihantar kepada mangsa banjir oleh Pos Malaysia di  Bandar Putra, di sini.

  Che Ku Shaherawati berkata, pihaknya menerima sumbangan periuk nasi daripada Serantau Muslim yang begitu prihatin dengan mangsa banjir di negeri ini dan bayaran pos RM6.20 bagi setiap penghantaran dibiayai pihaknya hasil sumbangan penderma.

  Katanya, kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang yang membantu mengesan mangsa banjir dan mendapatkan alamat mereka dapat melancarkan lagi proses penghantaran bantuan.

  “Bukti penerimaan bantuan periuk nasi yang dihantar dengan cara mangsa banjir perlu menghantar gambar menggunakan aplikasi

WhatsApp.

  “Sebelum ini STK turut menyumbang kira-kira 1,000 telekung, sejadah dan kain pelikat kepada mangsa banjir di negeri ini,” katanya yang sebelum ini lebih menumpulkan kepada aktiviti menyumbang dan mencuci telekung di surau.

  Bagi Roshaizi Mohd Rayi, pihaknya akan terus berusaha mendapatkan lebih banyak sumbangan barangan keperluan untuk diberikan kepada mangsa banjir di negeri ini.

  “Projek bantuan periuk nasi untuk mangsa banjir yang dihantar secara pos bukti kesungguhan STK membantu mereka yang memerlukan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa STK.