Guna sekali je sejadah ni yek

Guna sekali je sejadah ni yek

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Jemaah yang ingin menunaikan solat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini, tidak perlu risau jika tidak membawa sejadah berikutan pengurusan masjid menyediakan sejadah pakai buang, terutama buat musafir.

Sejadah yang diperbuat daripada bahan ‘nonwoven polypropylene’ (NWPP) itu boleh diperoleh di pintu masjid dan mudah dilupuskan selepas digunakan. 

Imam Besar Masjid Negeri, Dato’ Badli Shah Aladdin berkata, inisiatif untuk menyediakan sejadah pakai buang itu timbul selepas melihat keperluan jemaah masjid terbabit yang kebanyakannya musafir dan mereka tidak membawa sejadah.

“Kita mengambil contoh inovasi yang dilakukan pihak masjid di Istanbul, Turki, yang banyak menggunakan sejadah sekali guna ini untuk pelancong,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Katanya, kedudukan Masjid Negeri yang terletak di tengah bandar Kuantan menjadikan ia sering dikunjungi orang ramai dan penyediaan sejadah pakai buang ini sangat bersesuaian.

“Kos untuk satu set sejadah sekali guna ini tidak begitu mahal iaitu RM450 untuk 100 keping malah saiznya juga lebih besar daripada saiz sejadah biasa.

“Peruntukkan membeli sejadah sekali guna ini diperoleh hasil sumbangan jemaah sekali gus dapat mendidik jemaah masjid ini untuk menyumbang dari jemaah kepada jemaah,” katanya.

Badli Shah berkata, Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 adalah masjid pertama yang menyediakan sejadah di Pahang dan mungkin boleh diikuti masjid lain.

“Ini adalah antara pilihan yang  ada bagi jemaah masjid ini selain membeli sejadah yang dijual pihak masjid atau menggunakan sejadah sedia ada yang perlu diletakkan di petak khas untuk dicuci setiap kali selepas digunakan,” katanya.