Guna SOP sedia ada untuk rentas negeri, kata KJ

Guna SOP sedia ada untuk rentas negeri, kata KJ

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mewajibkan pelaksanaan ujian kendiri Covid-19 kepada individu yang belum atau menolak vaksin dan ingin merentas negeri apabila kebenaran diberikan beberapa hari lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata kerajaan sudah membuat kajian mengenai perkara berkenaan, namun mendapati langkah itu sukar dilaksanakan.

“Kita sudah mengkaji cadangan itu tapi tiada cara untuk dikuat kuasakan… Takkan nak laksana sekatan jalan raya untuk periksa setiap individu, kerana rakyat akan marah jika jalan sesak sedangkan mereka sudah tunggu lama untuk rentas negeri.

“Ini bukan seperti gelembung pelancongan di Langkawi kerana jumlahnya tidak ramai, sebaliknya Ini membabitkan jalan keluar masuk di semua negeri dan agak mustahil untuk kita periksa semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Pun begitu, menurut Khairy, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada akan tetap digunakan.

“Ertinya, seandainya ada individu belum divaksin merentas negeri, dia tetap tidak boleh nikmati kelonggaran seperti makan di restoran dan seumpamanya.

 “Polis juga sentiasa mengadakan pemeriksaan rambang dari semasa ke semasa bagi membuat pemeriksaan di restoran atau kedai makan,” katanya.