KUANTAN: UMNO Pahang harus mengguna pakai teori ‘Ninja Turtle’ untuk memenangi ‘peperangan’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti, kata YAB Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, ini bermakna setiap pemimpin dan ahli UMNO mempunyai peranan masing-masing dan bergerak secara berkumpulan untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Pahang.
“Teori Ninja Turtle ini adalah satu analogi bagaimana memenangi peperangan… kalau kita tengok kartun Ninja Turtle, mereka bergerak dari semua sudut tapi matlamatnya sama.
“Dato’ Sri Sharkar (Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Pengerusi Biro Keahlian Daftar Pemilih UMNO Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin) ada peranan dia, Dato’ Sri Hamid (Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Ab Hamid Nazahar) ada peranan dia dan saya ada peranan sendiri dan kita bergerak dalam satu kumpulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Pendaftaran Ahli UMNO ‘Keluargaku Ahli UMNO’ di sini, hari ini.
Mengulas program berkenaan, Wan Rosdy berkata, ia antara strategi dan pendekatan untuk memenangi hati pengundi sekali gus melebarkan peluang UMNO dan BN memenangi PRU-15 di negeri ini.
“Kita ada banyak strategi dan program ini antara yang kita usahakan. Program ini menyasarkan supaya ahli UMNO mengajak dalam ‘inner-circle’ (keluarga) dahulu masuk UMNO.
“Ini satu pendekatan untuk memenangi hati pengundi sebab lagi ramai jadi ahli (UMNO) lagi besar peluang kita untuk menang,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN