Guru KAFA bersyukur ke hadrat Allah, ucap terima kasih kepada MB

Guru KAFA bersyukur ke hadrat Allah, ucap terima kasih kepada MB

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Rata-rata guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini berasa amat bersyukur ke hadrat Allah dan berterima kasih kepada kerajaan Pahang, khususnya Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berikutan pemberian Bantuan Khas Kewangan yang diumumkan dalam Belanjawan Pahang 2021, minggu lalu.
Bagi Khairul Azimah Mohd Rani yang bertugas sebagai guru KAFA di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al Huda, Sungai Isap, di sini, bantuan itu membuatkan dia dan rakan guru KAFA lain berasa dihargai sekali gus menaikkan semangat untuk terus menabur bakti serta menjalankan amanah diberikan dengan sebaik mungkin.


“Saya dan guru KAFA lain mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar atas keprihatinan beliau dan juga perhatian yang amat sangat kepada kami guru KAFA Pahang dengan memberikan bonus ini kepada kami.
“Insya-Allah, kami akan terus memberikan komitmen yang jitu dan terus menggalas amanah yang diberi dengan sebaik-baiknya,” katanya kepada Fikrah Pahang.
Pada 16 November lalu, dalam pembentangan Belanjawan Pahang 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, Wan Rosdy mengumumkan mengenai pemberian Bantuan Khas Kewangan secara ‘one-off’ kepada guru KAFA di sekolah dan asrama di negeri ini.
Bantuan berjumlah RM300 setiap seorang itu bakal dinikmati 2,978 guru KAFA membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM893,400.