Guru kerugian RM30,000 ditipu geng Macau Scam

Guru kerugian RM30,000 ditipu geng Macau Scam

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Terlalu cemas apabila dikatakan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram dan menjual akuan bagi tujuan penjualan dadah mengakibatkan seorang guru menanggung kerugian RM30,000 selepas menjadi mangsa Macau Scam.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Cameron Highlands semalam sebaik menyedari dia tertipu. 

“Mangsa kerugian RM30,000 apabila semua wang simpanan miliknya dipindahkan ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek, kononnya bagi tujuan siasatan. 

“Selepas memindahkan wang, mangsa tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek membuatkan dia mengesyaki dirinya ditipu dan sebelum dia membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kejadian bermula jam 2.30 petang semalam apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Alor Setar, Kedah. 

Katanya, suspek memaklumkan nama mangsa telah digunakan untuk pendaftaran sebuah syarikat yang didapati gagal membayar tunggakan cukai selama 15 bulan berjumlah RM17,600.76. 

Bagaimanapun, menurutnya, mangsa menafikan membuat pendaftaran  syarikat seperti didakwa dan suspek mencadangkan supaya mangsa membuat laporan polis. 

“Panggilan itu kemudian kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Sarjan Rizal Yaakop dikatakan membantu menyelesaikan aduan mangsa. 

“Suspek meminta mangsa memberi butiran kad pengenalan bagi tujuan semakan dan kemudian memberitahu kononnya mangsa terbabit dengan kes jenayah iaitu pengubahan wang haram. 

“Mangsa juga dikatakan menjual akaun syarikat atas namanya itu kepada kumpulan penyeludupan dadah dan kumpulan berkenaan telah ditangkap di sempadan Malaysia danThailand,” katanya.

Mohd Wazir berkata, panggilan terbabit disambungkan pula kepada seorang lelaki kononnya pegawai bahagian siasatan pengubahan wang haram kerana mahu menjalankan siasatan secara terperinci ke atas akaun milik mangsa. 

“Mangsa diminta untuk memberikan kerjasama dengan  melakukan pemindahan semua wang miliknya ke dalam akaun yang diberikan. Suspek memberi alasan wang itu akan dikembalikan selepas proses pemeriksaan akaun mangsa dilakukan. 

“Mangsa yang cemas kemudian melakukan pemindahkan wang sebanyak RM30,000 secara online tetapi selepas itu gagal menghubungi suspek,” katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.