Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Dua ratus sembilan guru daripada 62 sekolah daerah ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 yang diserahkan secara pandu lalu di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, di sini, semalam.
Pegawai PPD Pekan, Mohd Razali Mustafar, berkata walaupun acara berkenaan tidak meriah berbanding sebelum ini, ia tetap memberi kenangan manis buat penerima.
“Saya amat menghargai kecemerlangan guru yang sentiasa komited dengan tugas namun disebabkan wabak Covid-19 semua rancangan terpaksa dibatalkan.
“Kita memang merancang untuk mengadakan majlis APC secara fizikal namun selepas dua kali tertangguh saya terpaksa mengambil keputusan mengadakannya secara pandu lalu,” katanya, di sini.
Mohd Razali berkata, program diadakan itu akan menjadi kenangan manis buat guru apabila menerima sijil secara pandu lalu.
“Saya hanya tunggu guru datang dengan kenderaan kemudian saya sampaikan sijil APC, cepat serta ringkas tetapi begitu bermakna buat 209 penerima,” katanya.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan, Zahamana Zainuddin, 55, berkata, beliau gembira apabila terpilih menerima APC 2020 yang akan menambahkan semangat untuk terus mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.
“Dalam keadaan sekarang saya reda penyampaian sijil APC dilakukan dengan cara pandu lalu,” katanya. ‘