Habis duit ditipu sindiket pinjaman wang tak wujud

Habis duit ditipu sindiket pinjaman wang tak wujud

Online 

Oleh Fath Ahnaf 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Lelaki kerugian RM2,180 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada mulanya mangsa berusia 25 tahun menerima mesej menerusi Whatsapp daripada suspek. 

“Suspek memperkenalkan diri sebagai Barry dan menawarkan pinjaman peribadi kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Katanya, mangsa berminat untuk membuat pinjaman RM35,000 dengan bayaran ansuran RM466 sebulan selama sembilan tahun. 

“Mangsa telah memberikan maklumat diri dan maklumat bank kepada suspek. Dia kemudian diminta membuat bayaran RM600 sebagai bayaran proses. 

“Pada 21 Ogos lalu, mangsa membuat bayaran RM600 di sebuah bank di Karak, Bentong, sebelum dia menerima mesej untuk memberikan nombor akaun bagi tujuan memasukkan wang pinjaman berkenaan,” katanya. 

Mohd Wazir berkata, mangsa juga diminta untuk membayar RM1,580 sebagai insurans terhadap pinjaman berkenaan dan mangsa membuat pembayaran jumlah berkenaan pada 23 Ogos lalu. 

“Kemudian mangsa sekali lagi diminta untuk membayar sebanyak RM2,500 dengan alasan mangsa tidak mempunyai akaun semasa dan bayaran terbabit untuk membuka akaun semasa. 

“Mangsa mula berasa curiga dan tidak membuat bayaran seperti yang diminta suspek sebaliknya mangsa membuat laporan polis kerana ditipu selain bimbang maklumat diri dan bank miliknya disalah guna suspek,” katanya.