JERANTUT: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia untuk membuat kajian semula syarat pendapatan bagi pemohon Rumah Mesra Rakyat berikutan keperluan rakyat untuk memperoleh kediaman selesa.
Timbalan Menteri KPKT, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, ini berasaskan ramai penduduk ingin membina Rumah Mesra Rakyat di tanah sendiri.
“Sehingga ini, syarat permohonan masih pendapatan RM3,000 sebulan, mempunyai tanah milik sendiri, bebas daripada sebarang sekatan ataupun gadaian dan berusia antara 18 tahun hingga 65 tahun.
“Kerajaan akan meneliti semula kadar syarat pendapatan ini dari semasa ke semasa berasaskan permintaan penduduk yang sangat memerlukan kediaman tetapi mempunyai pendapatan melebihi syarat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan replika kunci kediaman baharu projek Rumah Mesra Rakyat kepada empat penerima dari Kampung Batu Leja, Kampung Pulau Tawar dan Kampung Tebing Tinggi, dekat sini.
Hadir sama, Pengarah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Pahang, Dato’ Ahmad Islanizam A Halim dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.
Beliau berkata, Rumah Mesra Rakyat antara yang paling banyak dipohon oleh penduduk kerana kediaman itu sangat berkualiti, moden dan berasaskan pelan rumah yang disediakan SPNB.
“Kita terima 10,418 permohonan di Pahang. Daripada jumlah itu, 4,229 rumah sudah pun siap dibina. Di Jerantut sahaja, SPNB menerima 1,499 permohonan dan sudah menyiapkan 668 rumah,” katanya.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, kerajaan memberi subsidi RM20,000 untuk setiap rumah yang bernilai RM75,000.
“Pemohon cuma meminjam RM55,000 dengan bayar bulanan RM300 tanpa faedah,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE