JERANTUT: “Hadiah daripada kerajaan negeri ini akan kami gunakan sebaik mungkin untuk memulakan hidup baru di Pahang,” kata Muhammad Muzakkir Benyajeed, 19, yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 pada Julai tahun lalu.
Remaja itu yang mempunyai lapan beradik, hari ini menerima replika kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang dibina di atas tanah milik kerajaan negeri di FELDA Kota Gelanggi 2, Pulau Tawar, di sini.
Majlis penyerahan kunci disempurnakan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Muhammad Muzakkir berkata, buat masa ini dia dan adik-beradik lain masih lagi tinggal di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor dan akan berpindah ke RRP yang bernilai RM75,000 itu tahun depan.
“Tak sabar rasanya nak mulakan hidup baru di rumah baru nanti yang juga berdekatan dengan rumah datuk dan nenek saya. Boleh juga kami tengok-tengokkan mereka.
“Saya bercadang untuk bekerja di ladang milik bapa saudara untuk menampung perbelanjaan keluarga apabila berpindah nanti,” katanya yang ditemani datuk, Ibrahim Ali, 69, dan nenek Bedah Rusi yang berusia sama.
Ditanya kehidupan mereka sekeluarga kini, Muhammad Muzakkir berkata, dia bekerja di sebuah kilang papan secara di Rawang secara separuh masa untuk menanggung keluarga selain membantu perbelanjaan pengajian kakaknya, Nazurah Nabilah, 20, yang kini menuntut di Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang, Perak.
Sementara itu, Ibrahim berkata, dia dan isteri amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri terutama YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang menghadiahkan RRP kepada cucu mereka itu.
“Sebak apabila dapat tahu MB (Wan Rosdy) umumkan nak bagi (beri) rumah untuk lapan cucu saya yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 tahun lalu,” katanya sambil menyapu air mata.
Kisah sedih lapan beradik itu tular apabila arwah bapa mereka, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai tahun lalu kerana COVID-19, disusuli ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, pada 18 Julai 2021 disebabkan jangkitan sama.
Selain Nazurah Nabilah dan Muhammad Muzakkir, enam lagi adik mereka ialah Nurhani Nabilah, 17; Numasuhah Nabilah, 15; Muhammad Benjamin, 14; Muhammad Bennazir Sulaiman, 11; Nur Rawdhah Nabilah, 9 dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 5. – HELMY ABD RAHMAN