Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Kerajaan Pahang menyampaikan insentif kepada 35 pelajar di tiga daerah yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Turut menerima insentif adalah tujuh sekolah cemerlang yang masing-masing menerima RM5,000.
Majlis penyampaian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Majlis penyampaian dilakukan secara pandu lalu di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah Pekan, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman dan Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar.
Syed Ibrahim berkata, insentif yang diberikan itu antara bukti kesungguhan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar untuk melahirkan lebih ramai lagi pelajar cemerlang.
Katanya, insentif berkenaan diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada calon SPM 2021.