KETUA jurulatih Sri Pahang FC (Sri Pahang), Dato’ Dollah Salleh menyifatkan kejayaan Argentina merangkul Piala Dunia sebagai hadiah ‘pencen’ untuk Lionel Messi.
Katanya, kejayaan itu sekali gus menamatkan ‘perdebatan’ sama ada Messi layak digelar pemain terhebat sepanjang zaman kerana ayam tambatan Argentina itu kini sebaris lagenda senegara, Diego Maradona.
“Walaupun saya tidak menyokong mana-mana pasukan, tapi saya memang nak tengok sangat Messi menang Piala Dunia, lagipun inilah peluang untuk namanya diletakkan sebaris Diego Maradona.
“Saya memang akan rasa sedih kalau dia tak menang dan nampaknya tercapai sudah impian Messi untuk menamatkan kerjaya (antarabangsa) dengan penuh bergaya,” katanya kepada media selepas sesi tontonan perlawanan akhir Piala Dunia 2022 anjuran Adena Beach Resort, Kuantan, awal pagi tadi.
Messi sebelum ini mengesahkan rancangan persaraannya di pentas Piala Dunia ketika ditemubual media Argentina, Diario Deportivo Ole.
Meskipun hujan lebat, acara itu tetap mendapat sambutan apabila hampir 100 peminat memeriahkan sesi tontonan terbabit.
“Kami anjurkan sesi tontonan ini sejak hari pertama Piala Dunia 2022 dan setiap perlawanan memang dapat sambutan kira-kira 100 peminat yang terdiri daripada tetamu Adena Beach Resort.
“Musim cuti sekolah turut membantu apabila minimum 75 peratus tempahan bilik diperoleh setiap hari sejak mula Piala Dunia,” kata Pengurus Hotel Adena Beach Resort Kuantan, Vijay Sivaraj. – HELMY ABD RAHMAN DAN KHALEEF FITRI