Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
PEKAN: Impian pemandu lori berusia 27 tahun menyambut Aidilfitri dengan meriah hasil jualan 130 tual balak curi tidak menjadi kenyataan apabila dia terlebih dahulu diberkas ketika melalui Jalan Salong-Batu Balik dekat Kuala Mentiga, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu anggota Unit Penguat kuasa Zon Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) terpaksa mengejar sejauh enam kilometer lori tiga tan yang dipandu lelaki terbabit selepas cuba melarikan diri.
Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Zon Pahang Timur JPNP, Muhammad Firdaus Abdul Kadir @ Yusof berkata, pemeriksaan mendapati lori terbabit membawa muatan sebanyak 130 tual balak saiz 1.2 meter panjang bernilai lebih RM5,000.
Menurutnya, antara spesies balak yang cuba dipindahkan tanpa permit itu ialah mempening, merawan, kelat, mengkulang, kedondong dan ludai. Ia digunakan untuk menghasilkan palet oleh kilang papan lesen B.
Katanya, kejayaan berkenaan hasil risikan anggota Unit Penguat kuasa Zon Pahang Timur JPNP selama beberapa hari bagi mengesan aktiviti salah itu. Jalan Salong-Batu Balik dikenal pasti antara laluan panas yang sering digunakan sindiket mencuri balak di daerah ini.
“Pemandu lori terbabit yang berasal dari Kuantan beberapa kali merayu supaya dilepaskan dengan alasan hasil jualan balak berkenaan untuk digunakan sebagai belanja dia sekeluarga menyambut Aidilfitri minggu depan.
“Undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 menetapkan menjadi kesalahan sekiranya memindahkan balak termasuk hasil hutan lain tanpa permit atau kebenaran daripada pihak berkuasa,” katanya, di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya kini berusaha mengesan lokasi hutan yang diceroboh untuk aktiviti salah berkenaan dan tidak mustahil terdapat beberapa individu lain terbabit dengan kegiatan itu termasuk penebang balak.
Muhammad Firdaus berkata, rekod sebelum ini mendapati kegiatan mencuri balak dan memindahkan hasil hutan lain akan bertambah menjelang Aidilfitri di mana pelbagai cara digunakan oleh sindiket didalangi individu yang mahir dengan kegiatan itu.
“Saya sudah mengarahkan anggota Unit Penguat kuasa Zon Pahang Timur JPNP supaya memberi tumpuan kepada beberapa kawasan panas, rondaan dan intipan dilakukan siang serta malam.
“Ramadan tidak bermakna kita berehat sebalik tugas penguat kuasa dijalankan secara berterusan bagi memastikan hasil hutan tidak mudah dicuri hingga merugikan kerajaan negeri,” katanya yang melakukan pemeriksaan di kilang papan.