Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Seramai 42,464 daripada 42,875 pelajar berusia 16 tahun dan 17 tahun atau 99 peratus di Pahang sudah lengkap menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 setakat kelmarin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus, berkata baki 411 pelajar lain akan menerima suntikan vaksin itu seperti yang disasarkan JKN Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.
Justeru, katanya, JKN dan JPN sedang berusaha untuk memastikan semua baki pelajar berkenaan mendapatkan suntikan segera.
“Berdasarkan maklumat, sebelum ini pelajar itu tidak dapat hadir seperti yang dijadualkan kerana kurang sihat dan sedang menjalani kuarantin.
“Namun, pencapaian 99 peratus pelajar tingkatan 4 dan 5 bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja Pahang sejak dimulakan pada 20 September lalu, amat membanggakan,” katanya.
PICK Remaja di Pahang membabitkan 173,000 pelajar berusia 12 tahun hingga 17 tahun yang menuntut institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dari Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Selain itu, pelajar daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Maahad Tahfiz Negeri Pahang serta institusi swasta, termasuk institusi tahfiz, pondok dan madrasah persendirian, turut disenaraikan untuk proses vaksinasi.