Hampir 1,000 lepas rindu bebuka puasa di Padang MBK1

Hampir 1,000 lepas rindu bebuka puasa di Padang MBK1

KUANTAN: Hampir 1,000 warga Kuantan mengambil peluang berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 di sini pada hari pertama Ramadan.

Ini kali pertama orang ramai dibenarkan berbuka puasa sekali gus meneruskan tradisi itu yang terpaksa dihentikan dalam dua tahun kebelakangan ini disebabkan penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hazlia Rajap, 36, dari Kampung Pak Mahat di sini, berkata dia berasa amat teruja kerana sudah lama tidak dapat berbuka puasa di padang berkenaan.

“Walaupun perlu mengikut SOP (prosedur operasi standard) memandangkan negara baru sahaja memasuki fasa endemik, tetap terasa kemeriahan berbuka puasa di sini.

“Dari segi suasana pula agak berbeza dengan sebelum ini kerana sekarang pemandangan bandar raya Kuantan semakin cantik dengan kewujudan Kuantan 188,” katanya yang datang bersama keluarga.

Bagi Hafizi Ghazali, 32, dia bukan sahaja gembira, malah tak sabar untuk berbuka puasa di padang berkenaan sebaik mendapat tahu tradisi itu boleh dilakukan pada Ramadan kali ini.

“Bila dapat tahu saja, saya terus ‘booking’ (tempah) petak yang disediakan melalui Internet. Kalau nak diiukutkan sebelum penularan COVID-19, boleh dikatakan selalu sangat saya dan keluarga berbuka di sini. 

“Alhamdulillah, tahun ini dapat kami lepas ‘gian’ dan rindu berbuka puasa di Padang MBK 1 ini,” katanya.

Difahamkan, sebanyak 140 lot atau petak untuk berbuka puasa disediakan pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) untuk Ramadan tahun ini dengan bilangan maksimum 12 orang bagi satu petak dibenarkan. 

Tempahan perlu dibuat secara online di laman rasmi MBK iaitu https://iftar.mbk.gov.my, sekurang-kurangnya tuga hari sebelum tarikh berbuka yang dipilih.

Tempoh masa dibenarkan pula ialah mulai jam 6 petang hingga 8.30 malam.

Sementara itu, petugas MBK memberitahu, sebanyak 75 peratus lot diisi untuk hari pertama puasa, hari ini dan dijangka lebih ramai akan berbuka puas adi situ sepanjang Ramadan ini.

Tradisi berbuka puasa di padang MBK1 adalah antara aktiviti dinanti-nantikan penduduk sekitar bandar raya ini selian turut menarik perhatian pelancong dari luar negeri ini. 

Namun aktiviti berbuka puasa di padang awam tidak dibenarkan sejak dua tahun kebelakangan ini akibat penularan COVID-19 dan pelaksanaan PKP. – MUSTAFFA KAMAL