Hampir 1,000 mangsa banjir di Pahang kini di PPS 

Hampir 1,000 mangsa banjir di Pahang kini di PPS 

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 934 mangsa daripada 235 keluarga berada di sebelas pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dan Raub, sehingga kira-kira 8 pagi, hari ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 865 mangsa daripada 218 keluarga, pada kira-kira 8 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang merekodkan peningkatan 186 mangsa banjir, masing-masing berada di lapan PPS di daerah ini manakala tiga PPS di Raub.

Lapan PPS yang dibuka di daerah ini adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang, SK Beserah, SK Sungai Ular dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung.

Selain itu, PPS di SK Pelindung, SK Cherating, Surau Kampung Chendor dan Balai Raya Bukit Kuin 1, pula membabitkan 867 mangsa daripada 212 keluarga.

Di Raub, tiga PPS dibuka iaitu di Balai Raya Kampung Ria, Balai Raya Chenua dan Dewan Kampung Pia, menempatkan 67 mangsa daripada 23 keluarga. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN