Hampir 10,000 Orang Asli sudah menerima vaksin COVID-19

Hampir 10,000 Orang Asli sudah menerima vaksin COVID-19

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Hampir sepuluh ribu Orang Asli di Pahang sudah menerima vaksin menerusi Program Outreach Vaksinasi (POV) COVID-19 yang dilancarkan pada 16 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi berkata, 9,923 menerima dos pertama manakala 3,452 selesai menerima dos pertama dan kedua.

Menurutnya, 54,164 masyarakat Orang Asli berumur 18 tahun ke atas layak untuk menerima suntikan vaksin di Pahang. 

Katanya, Pahang adalah negeri paling ramai Orang Asli yang menerima suntikan vaksin COVID-19 berbanding beberapa negeri lain seperti Johor, Kelantan, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

LIPIS. Remaja Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Kesedaran di kalangan Orang Asli untuk menerima suntikan vaksin semakin tinggi,” katanya. 

Beliau berkata, rombongan POV akan berkunjung ke setiap kampung yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai,  termasuk Rancangan Penempatan Semula (RPS) untuk memberi suntikan vaksin. 

Johari berkata, rombongan POV turut disertai Pegawai Psikologi (Kaunseling) PKD berketurunan Orang Asli untuk memberi penerangan dan nasihat supaya masyarakat pribumi itu menerima vaksin. 

“Selain itu, jururawat akan ziarah setiap rumah untuk tujuan vaksinasi terhadap golongan warga emas,” katanya.