Hampir 500 pelatih OKU di PPDK Pahang sudah divaksinasi

Hampir 500 pelatih OKU di PPDK Pahang sudah divaksinasi

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Seramai 487 pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) di 11 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin COVID-19. 

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, hanya 117 membabitkan 61 lelaki dan 56 perempuan masih belum menerima suntikan vaksin yang diberikan secara berperingkat.

“Secara keseluruhannya di negeri ini terdapat 696 pelatih OKU yang mengikuti pelbagai latihan kemahiran di PPDK. Daripada jumlah itu, 70 peratus pelatih OKU yang mendapatkan kemahiran di 11 PPDK telah menerima suntikan vaksin di setiap daerah.

KUANTAN…pelatih PPDK di Temerloh selepas menerima  suntikan vaksin Covid-19 dilakukan pada program vaksinasi khas golongan istimewa.

“Bagi PPDK yang mempunyai pelatih ramai, pegawai perubatan KKM berkunjung ke PPDK berkenaan untuk melaksanakan program vaksinasi,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, PPDK daerah ini teramai mendapat vaksinasi membabitkan seramai 118 pelatih  diikuti PPDK Raub (73), PPDK Rompin (62), PPDK Bentong (57) dan PPDK Bera (49).

“Bagaimanapun, seramai 92 pelatih iaitu 46 lelaki dan 46 perempuan mengambil keputusan tidak mahu menerima suntikan,” katanya menambah, selain golongan OKU, turut mendapat perhatian ialah warga emas, gelandangan dan rentan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sehingga semalam, pihaknya menerima sebanyak 394 aduan membabitkan permohonan bakul makanan (368), bantuan JKM (23) selain satu aduan kes kanak-kanak.

“Jerantut mencatat jumlah tertinggi aduan iaitu sebanyak 135 diikuti Pekan (87), Bera (52), Raub (36), Ibu Pejabat JKM Pahang (31), Maran (25), Rompin (22) dan enam di Temerloh.

“Saya menyeru kepada masyarakat yang berdepan apa juga masalah supaya menghubungi JKM di empat ditalian bilik gerakan iaitu 09-5650226, 09-565 0302, 09-5650229 dan 09-5650230,” katanya.