JERANTUT: Barisan Nasional (BN) Pahang akan mempertaruhkan hampir 70 peratus muka baharu dalam Pilihan Raya Umum (PRU15), pada 19 November ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua calon muka baharu dan lama sama ada bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan, pada Khamis, 2 November ini.
“Pemilihan calon hampir muktamad dan ia adalah kombinasi Wanita, Pemuda dan Puteri. Ada muka lama, veteran, baharu, muda. Calon dalam 60 hingga 70 peratus adalah calon baharu,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian kepada media selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021 dan Hal Ehwal Murid Jabatan Pelajaran Negeri Pahang di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Jerantut, di sini, hari ini.
Sementara itu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Negeri Pahang berkata, kira-kira 75,000 pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun di negeri ini diyakini akan memihak kepada BN.
“Kita telah mendekati pengundi muda sejak dulu lagi. Golongan ini harus didekati, mereka pun nak tahu kerajaan negeri buat apa untuk mereka.
“Meskipun belum capai 100 peratus, tapi hampir 60 peratus daripada mereka memihak kepada BN,” katanya.
Ketika ditanya mengenai penyandang Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris yang mengumumkan untuk tidak mempertahankan kerusi itu, Wan Rosdy berkata, BN Pahang menghormati dan akur dengan keputusan Ahmad Nazlan.
“Beliau (Ahmad Nazlan) berjanji akan turun padang membantu kempen bagi memastikan BN menang untuk calon baru BN Parlimen Jerantut nanti,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE