Hampir 7000 usahawan gulung tikar gara-gara COVID-19

Hampir 7000 usahawan gulung tikar gara-gara COVID-19

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Mustaffa Kamal

KUANTAN: Kira-kira 6,800 pengusaha atau 8.5 peratus daripada 80,000 usahawan di seluruh negara terpaksa gulung tikar, gara-gara penularan COVID-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sebanyak 58 peratus atau kira-kira 46,400 usahawan lagi berdepan pelbagai masalah lain yang menjejaskan perniagaan mereka. 

“Pelbagai usaha dan inisiatif sudah serta sedang dilaksanakan kerajaan bagi membantu golongan usahawan memulihkan kembali perniagaan mereka daripada terus menanggung kesulitan. 

“Dalam sektor koperasi, usaha bagi mengurangkan impak ekonomi kepada pemain industri menerusi SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia) menyediakan insentif khas program pemulihan pasca COVID-19 sebanyak RM1.66 juta. 

“Selain itu, SKM menawarkan insentif khas pembiayaan program pemulihan pasca COVID-19 berjumlah RM3.48 juta,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas program merasmikan pembukaan Pasar raya Coop Ummah milik Koperasi Ummah Bhd di Tanjung Lumpur, di sini, hari ini. 

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Harun dan Pengerusi Koperasi Ummah Berhad, Sabariah Mohd Noor. 

Mengulas perkembangan koperasi di negara ini, Mas Ermieyati berkata, sebanyak 30 peratus koperasi dikesan tidak aktif dan sedang mendapat perhatian SKM untuk dibantu.

“SKM sentiasa bantu ahli koperasi bermasalah, antaranya dengan menawarkan nasihat dan bimbingan untuk membantu mengubah semula pelan perniagaan mereka sebelum ini yang tidak memberi pulangan seperti sepatutnya,” katanya.