KUANTAN 13 Mei 2024 (FIKRAH PAHANG) Hampir keseluruhan Perkampungan Orang Asli (KOA) di negeri ini telah dilengkapi bekalan air, jalan dan elektrik.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kini terdapat 266 perkampungan Orang Asli yang direkodkan dan sebahagian besar daripadanya telah menerima kemudahan asas tersebut.
“Kini hanya tinggal 51 KOA masih belum menerima bekalan elektrik manakala tujuh lagi kampung belum mendapat bekalan air dan 47 pula tidak ada kemudahan jalan disebabkan faktor lokasi yang terlalu jauh, geografi dan status tanah.”
“Bagi memastikan KOA menerima kemudahan itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah dan negeri komited bagi mengatasi masalah kemudahan asas di kesemua 266 KOA di Pahang menerusi pelbagai usaha dan inisiatif’. katanya ketika menjawab soalan Chan Chun Kuang (PKR-Semambu) pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini hari ini.
Katanya lagi, JAKOA juga akan memohon peruntukan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi melaksanakan kemudahan di KOA dan membekalkan data dan maklumat kepada pihak KKDW untuk dimasukkan di bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB)
“Kerajaan Pahang akan memasang sistem solar di Kampung Penjuring, Bentong dan Sungai Kelit, Raub disamping berkerjasama dengan Tenaga Nasioanl Berhad (TNB) membina Mini Hidroelektrik di Pos Lenjang dan Pos Titum untuk mengatasi masalah bekalan elektrik kampung berkenaan dan 32 KOA sekitar daerah Lipis yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026”.
“Kerajaan Negeri Pahang berusaha untuk meningkatkan mutu kemajuan masyarakat Orang Asli terutama kemudahan asas, semoga usaha murni ini di rahmati”. katanya.
Oleh Kabhi Ismail