PEKAN: Sekurang-kurangnya 1,203 pesawah di daerah ini sudah menerima bantuan Tabung Bencana Padi (TBTP) yang disediakan kerajaan.
Setiap pesawah yang bendang mereka musnah ditenggelami banjir pada 2021 menerima di antara RM1,000 hingga RM5,400 mengikut keluasan sawah.
Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhamad Khalil Idris, berkata umur padi yang musnah turut menentukan jumlah bayaran yang diterima pesawah.
Menurutnya, sehingga 2 Jun lalu, sekurang-kurangnya 1,161 pesawah di Skim Paya Pahang Tua, Skim Ganchong dan Skim Merchong sudah menerima bantuan TBTP bernilai RM3,105,766.56.
“Bantuan TBTP dikreditkan ke akaun bank pesawah terbabit. Mereka yang lewat menerima bantuan itu disebabkan akaun bank pesawah terbabit tidak aktif.
“IADA dan Agrobank kini sedang berusaha menjejaki pesawah yang mempunyai akaun bermasalah hingga menyebabkan kelewatan bayaran berlaku,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD