KUANTAN: Golongan remaja terutama ‘kaki game’, disaran menyerapkan aspek positif daripada permainan video dalam talian ke dalam kehidupan mereka.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata di samping berhibur, terdapat banyak ciri positif yang boleh diambil ketika bermain permainan video terbabit, antaranya memupuk sikap enggan mengaku kalah.
“Contohnya dalam game (permainan) PUBG (Player Unknown’s Battlegrounds) yang amat popular ketika ini. Dalam permainan ini, kita mungkin kena tembak, tapi bangkit semula dan kembali berjuang.
“Permainan video online seperti ini juga boleh mengelakkan anak muda daripada buat perkara tidak berfaedah, cuma jangan lalai, jangan tinggal sembahyang dan kena ada had,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sebelum menyampaikan hadiah pada Pertandingan PUBG Piala YAB Menteri Besar Pahang di Dewan Orang Ramai Taman Impianku di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda dan Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid.
Terdahulu, Wan Rosdy sempat mencuba permainan berkenaan bersama peserta pertandingan.
“Saya masih fikir mereka (peserta) sengaja beri saya menang atau tidak. Mulanya kena tembak, tapi lepas tu saya bangun semula dan akhirnya menang satu pusingan,” katanya disambut hilai tawa hadirin.
Hampir 200 peserta terdiri daripada golongan remaja sekitar daerah ini menyertai pertandingan itu yang dimenangi pasukan Paya Besar e-Sports.
Pasukan berkenaan yang diwakili lima peserta, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000. – HELMY ABD RAHMAN