Hantar al-Quran rosak ke masjid untuk dilupuskan

Hantar al-Quran rosak ke masjid untuk dilupuskan

KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengumpul kira-kira 10 tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir akhir tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, jumlah berkenaan dijangka bertambah apabila operasi mengumpul dimulakan semula minggu ini.

Katanya, Bentong dan Temerloh mencatat jumlah terbanyak al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al Quran yang rosak akibat banjir berbanding Kuantan, Bera, Jerantut, Raub, Maran dan Lipis.

“Saya meminta orang ramai yang memiliki al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir dikumpul di masjid kariah dan surau setempat bagi tujuan pelupusan oleh pihak JAIP.

“Aktiviti pelupusan akan dilakukan di pusat pelupusan di Kampung Temin, Jerantut. Abu kemudian akan dilepaskan ke laut,” katanya, dihubungi di sini hari ini..- MOHD IMRAN IZZAD