Hanya parti komponen BN dijemput hadiri PAU 2023

Hanya parti komponen BN dijemput hadiri PAU 2023

KUANTAN: Tiada wakil daripada Parti Keadilan Rakyat dan DAP dijemput menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan.

Malah, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pucuk pimpinan parti turut memutuskan untuk tidak menjemput perwakilan duta asing seperti amalan dilakukan pada perhimpunan sebelum ini. 

“Kita buat keputusan bahawa PAU kali ini adalah hanya antara parti-parti Barisan Nasional (BN) dan rakan BN kami ingin menyelesaikan perkara-perkara berkait dengan keputusan dalaman UMNO dan BN. 

“Oleh itu bukan hanya parti-parti lain kita tidak jemput, tetapi duta-duta asing pun kita tidak jemput, tahun sudah (lalu) kita jemput, tahun ini kita tidak jemput, maka setakat ini itulah keputusan, kecuali berubah sehari dua lagi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan menjemput wakil PKR dan DAP berikutan mereka kini berada dalam kabinet Kerajaan Perpaduan. 

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan I mengadakan taklimat tertutup isu semasa bersama perwakilan UMNO Pahang di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini.

Hadir sama, YAB Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepemimpinan UMNO negeri.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, keputusan itu tidak bermakna UMNO tidak menghargai rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan meminta supaya ia tidak dibesar-besarkan.

“Ini bukan bermakna kita tak kawan, jangan nanti tulis retak menanti belah, jangan memandai-mandai,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan masih belum mendapat sebarang jemputan bagi menghadiri PAU yang dijadualkan berlangsung 11 hingga 14 Januari ini. – HELMY ABD RAHMAN DAN KHALEEF FITRI