Haramkan Vape Secara Total- Sultan Pahang

KUANTAN 18 November 2024- (FIKRAH PAHANG) Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menyarankan kerajaan mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape secara total selepas dilihat menjadi punca utama penyalahgunaan dadah dikalangan generasi muda yang semakin meningkat di negeri ini berdasarkan statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Saya berharap kerajaan haramkan secara total alat tersebut, bukan sahaja di Malaysia tetapi diseluruh dunia “, titah baginda dalam Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) 2024 di Hotel The Zenith di sini.

“Sudah sampai masanya ibu bapa di negeri Pahang ini tidak kiralah yang ada anak terlibat atau tidak terlibat bangkit untuk membantu, berilah nasihat yang sewajarnya bagi memerangi gejala dadah yang semakin berluluasa dinegeri ini.” titah baginda.

Dalam majlis berkenaan, Sultan Pahang berkenan mengurniakan anugerah kepada 52 pelajar MTNP yang memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Turut hadir EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Oleh Kabhi Ismail