Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
PEKAN: Lebih 800 petugas barisan hadapan pelbagai agensi di daerah ini menerima sumbangan makanan segera bernilai RM10,000 keluaran sebuah syarikat pengeluar produk makanan terkenal.
Agihan kepada empat agensi terbabit dikendalikan oleh Gerbang Muhibbah Enterprise yang bekerjasama dengan syarikat pengeluar produk makanan berkenaan yang turut menyalurkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Bentong.
Pengarah Program Sumbangan Prihatin itu, Datuk Mohd Mazri Mahmud berkata, pihaknya akan menyerahkan sumbangan berkenaan kepada ketua setiap agensi terbabit esok sebelum ia diagihkan kepada petugas.
Menurutnya, mereka yang bertugas tanpa mengira tempat dan waktu akan menerima sumbangan berkenaan sebagai usaha meringankan beban ditanggung sepanjang memikul amanah yang kini semakin mencabar.
“Saya difahamkan lebih 250 kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan yang bertugas dalam pelbagai bidang terbabit memberi perkhidmatan sejak wabak COVID-19 melanda negara.
“Ada di kalangan mereka tidak dapat keluar makan tengah hari disebabkan bebanan tugas. Dengan sumbangan mi segera Mamee cawan ini mereka boleh memasaknya di bilik rehat,” katanya di sini, semalam.
Beliau menambah, selain anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan dan kakitangan PKD Pekan, sumbangan turut diberikan kepada anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pekan serta kakitangan Hospital Pekan.
Mohd Mazri berkata, sumbangan berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap tugas yang digalas pihak terbabit terutama sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dianggap lebih mencabar.
Menurutnya, pengorbanan anggota polis, kesihatan, hospital serta bomba dan penyelamat menjalankan tugas tanpa mengira waktu dan keadaan amat tinggi nilainya dan sebagai penghargaan, pihak Mamee Double Decker
tampil menghulurkan sedikit sumbangan.
“Saya berharap sumbangan berkenaan dapat menceriakan petugas barisan hadapan yang kini menggalas tugas dengan penuh bersemangat walau dalam apa juga keadaan.
“Sumbangan berkenaan turut diberikan kepada rumah anak yatim Darussalam, Maahad Tahfiz Pasir Panjang, Maahad Tahfiz Tanjung Agas dan Maahad Tahfiz Ketapang, di sini,” katanya.