Hari raya pun ceroboh hutan ke?

Hari raya pun ceroboh hutan ke?

BENTONG: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) merampas 65 kayu bergergaji pelbagai saiz pada Aidilfitri ketiga di Hutan Simpan Kemasul Tambahan Bentong, di sini.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Shahril Mohamad berkata, 12 anggota Unit Penguatkuasa Barat JPNP dan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong menyerbu kawasan Kompartmen Tiga hutan simpan itu hasil maklumat awam.

Menurutnya, mereka menemui beberapa longgok kayu bergergaji yang dipercayai untuk dijadikan tiang pagar kebun.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan di kawasan itu menemui tiga tunggul pokok Meranti yang dipercayai ditebang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, aktiviti terbabit dipercayai dilakukan tiga individu tempatan yang mahir dan berpengalaman menghasilkan kayu bergergaji untuk dijadikan tiang pagar kebun selain membina rumah.

“Kita anggarkan harga 65 kayu yang ditemui di antara RM3,000 dan RM4,000 mengikut harga semasa dan jenis kayu,” katanya, di sini, hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD