Harimau Malaya perlu perkemas kubu yang mudah bocor

Harimau Malaya perlu perkemas kubu yang mudah bocor

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

PERTAHANAN yang tidak kemas menjadi punca utama skuad Harimau Malaya tewas mudah 1-5, di tangan Uzbekistan pada aksi persahabatan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan, semalam.

Bekas pemain kebangsaan, Dato’ Jamal Nasir Ismail, berkata jentera serangan lawan seolah-olah bijak menghidu kelemahan pertahanan Harimau Malaya terutama menerusi hantaran bola tinggi.

“Saya juga dapat melihat bahagian tengah dan serangan gagal mencetuskan gerakan berbahaya ke kubu lawan. Mereka seolah-oleh terlalu sukar untuk mengatur masuk ke kubu lawan,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan pengalamannya beliau percaya bukan mudah untuk melepasi barisan pemain pertahanan Uzbekistan yang cepat menutup ruang kosong setiap kali menerima asakan. 

Jamal berkata, pemain negara diharap dapat menjadikan kekalahan sebagai kayu pengukur prestasi sebelum turun pada kejohanan sebenar.

“Saya berharap peminat bola sepak negara juga tidak terus menyalahkan jurulatih dan pemain Harimau Malaya. Mungkin ada hikmah dan pengajaran di sebalik kegagalan itu.

“Tewas pada perlawanan persahabatan tidak bermakna akan gagal pada kejohanan sebenar,” katanya.