LIPIS: Akuakultur di Pahang mencatatkan jumlah hasil keseluruhan RM1.21 bilion yang meliputi tiga bidang utama iaitu hasil laut, akuakultur sangkar dan tangki serta perikanan sungai, tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, berkata daripada jumlah itu, hasil laut menyumbang RM950 juta, akuakultur sangkar dan tangki (RM250 juta) manakala perikanan sungai (RM11.5 juta).
Katanya, bidang perikanan yang semakin berkembang turut memberi pekerjaan kepada tujuh ribu nelayan, penternak dan usahawan di negeri ini.
Katanya, jumlah itu menjadikan Pahang sebagai negeri yang keempat terbesar dengan hasil perikanan di semenanjung dan pertama di Pantai Timur.
“Untuk merancakkan lagi industri perikanan di negeri ini, kerajaan menyediakan lebih banyak bantuan kepada penternak seperti menyediakan benih ikan secara percuma di samping benih ikan pelbagai spesies yang dilepaskan ke perairan umum di negeri ini.
“Malah, Jabatan Perikanan Pahang sudah melepaskan sekurang-kurangnya 13.5 juta benih ikan dan udang di 33 kawasan perairan umum di negeri ini, sejak 2010,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program pelepasan benih ikan ke perairan umum peringkat negeri Pahang ke dalam Sungai Lipis, di Kampung Melayu Benta.