Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar dan video Zulkepli Osman
CAMERON HIGHLANDS: Kerajaan Pahang mengunjurkan kutipan hasil sebanyak RM1 bilion untuk 2023, namun pada masa sama memberi jaminan tidak sesekali membebankan rakyat.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata untuk itu, pihaknya menumpukan usaha menyekat ketirisan dan kebocoran bagi membolehkan kutipan hasil diuruskan dengan lebih sempurna.
“Kita kena fikir dan cari kaedah kerana bukan mudah untuk menaikkan hasil… kita tak boleh naik sebarangan sebab kerajaan negeri tak mahu rakyat tertekan dengan kenaikan (hasil) ini.
“Jadi kita kena buat dengan cara berhemah dan kita lebih fokus kepada ketirisan, kebocoran untuk menguruskan (kutipan hasil) dengan lebih baik, contohnya ambil tindakan penguatkuasaan ke atas mana-mana tanah haram atau sebarang aktiviti yang boleh jejaskan (hasil) kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan bantuan ’empat dalam satu’ untuk masyarakat daerah ini di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Tengkolok, Tanah Rata di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, jumlah kutipan hasil kerajaan negeri bagi 2019 dan 2020 berjaya mencecah RM800 juta, namun untuk tahun ini, jumlah kutipan berkurangan.
“Seperti kita tahu tahun ini disebabkan Covid-19, mungkin sedikit sebanyak menjejaskan kutipan hasil, sebab kita banyak beri moratorium, pihak PBT (pihak berkuasa tempatan) tak dapat kutip sewa sebab kedai tak boleh berniaga.
“Kita akan cuba ‘pick-up’ (kutip) baliklah dengan baki dua bulan lebih lagi (untuk tahun ini),” katanya.
Mengulas bantuan hari ini, beliau berkata, kerajaan negeri mengagihkan sumbangan bernilai RM500,000 merangkumi empat bantuan iaitu Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Fasa 3, Bantuan Pelajaran Mara, Inisiatif Jubah dan bantuan untuk Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA).
Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, seramai 185 terdiri daripada imam dan pegawai masjid di daerah ini menerima Inisiatif Jubah.
“Selain itu, seramai 18 daripada PMOA di bawah Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Muip (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang) dan YP (Yayasan Pahang) menerima bantuan tunai RM500 seorang.
“Juga menerima bantuan, 69 pengusaha dewan makan dan kantin sekolah serta 100 anak-anak sekolah menerima RMT (Rancangan Makanan Tambahan),” katanya.